BAJAU LAUT : DILEMA NOMAD LAUT YANG TERMARGINAL

PIN

s

Secara tradisinya, Bajau Laut yang lebih dikenali sebagai Nomad Laut atau Gipsi Laut sejak azali bersama komuniti mereka telah memanfaatkan sumber yang kaya dengan terumbu karang dan hutan bakau di rantau ini dengan menjalani kehidupan di atas rumah perahu secara berpindah-randah. Selama beratus tahun mereka telah hidup di lautan, jarang sekali menjejakkan kaki di atas darat, dan dengan kemampuan mereka untuk menyelam jauh ke dasar lautan; memancing merupakan kaedah tradisional untuk sara hidup mereka. Kosmologi tradisional bagi Bajau Laut adalah sinkronisme animisme dan sebahagian dari mereka menganuti Islam. Ini mendedahkan hubungan masyarakat mereka yang kompleks dengan lautan; mereka adalah entiti hidup yang berkepelbagaian. Dalam persekitaran pasang surut arus, di sebalik terumbu karang dan bakau, komuniti Bajau Laut adalah etnik yang paling termarjinal.

Evolusi pernafasan manusia

Masyarakat Bajau Laut adalah manusia yang dikenalpasti secara genetik teradaptasi kepada penyelaman. Setelah sekian lama Bajau Laut telah hidup di laut dan kelahiran dalam persekitaran semulajadi ini menjadikan mereka penyelam yang hebat. Kebanyakkan manusia boleh menahan nafas di bawah air selama beberapa saat dan untuk sebahagian manusia; hanya beberapa minit. Bagi masyarakat Bajau Laut, selaman termaksima mereka adalah selama 13 minit bersama kedalaman kira-kira 200 kaki. Melalui kajian jurnal Cell (sebuah jurnal saintifik yang menerbitkan kertas penyelidikan merentasi pelbagai disiplin dalam sains hayat) menyatakan faktor terjadinya mutasi DNA untuk spleens (limpa) yang lebih besar, dan ini memberikan mereka kelebihan genetik untuk menyelam. Limpa bertindak sebagai gudang untuk sel darah merah yang membawa oksigen. Penyelam terbaik cenderung mempunyai limpa terbesar dan mempunyai kemahiran untuk meningkatkan tahap peratusan oksigen.

Angin Bersiru, Ombak Bersabung.

Masyarakat Bajau Laut sangat bergantung pada laut sebagai sumber pendapatan utama mereka. Mereka berdagang dengan penduduk tempatan di sempadan Malaysia, Indonesia ataupun Filipina untuk mencari punca pendapatan; menggunakan ikan, kerangan mahupun haiwanan laut dan produk lain yang mereka utuh dari dasar laut.

Walau bagaimanapun, disebalik kejernihan air di sekitar pulau-pulau, kehidupan nomad laut ini semakin terancam. Mereka dianggap sebagai masyarakat yang terpinggir, termarjinal dan tidak dapat menikmati hak kewarganegaraan. Asal-usul diaspora Bajau Laut tidak sepenuhnya jelas. Mereka sering bermigrasi secara tradisinya berkeliaran di pulau-pulau Laut Sulu-Sulawesi yang terletak di antara selatan Filipina, pantai Sabah, Malaysia Timur dan Kalimantan Timur, Indonesia. Rentang mereka mencapai sejauh Laut Arafura berdekatan pantai Papua, Indonesia dan Laut China Selatan. Populasi masyarakat ini berada di sempadan Indonesia, Filipina dan Sabah dan tiada perkiraan yang jelas mengenai jumlah sebenar mereka.

Dunia bekemungkinan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kemanusiaan dan kedamaian termasuk tumpuan terhadap nasib Rohingya di Myanmar. Namun begitu, sangat sedikit tumpuan diberikan kepada peminggiran terhadap komuniti ini. Sepanjang beberapa dekad, untuk mempunyai sempadan negara yang lebih ketat, kerajaan di seluruh negara lebih menfokuskan kepada keselamatan maritim dan pemuliharaan alam sekitar. Ini menyebabkan kehidupan masyarakat laut terbatas. Diskriminasi yang lebih luas dihadapi adalah apabila antara Malaysia, Indonesia dan Filipina tidak membuat keputusan untuk memberi kata putus ke atas kewarganegaraan masyarakat Bajau Laut.

Kekurangan dokumentasi dan ketiadaan kewarganegaraan bagi masyarakat ini menyebabkan mereka keciciran dari segi pelbagai sudut. Mereka terdedah kepada banyak pelanggaran hak asasi manusia. Kebiasaannya, mereka tiada akses kepada sistem penjagaan kesihatan bersubsidi yang rendah. Bagi kanak-kanak Bajau Laut yang tiada kewarganegaraan, mereka tidak mempunyai hak untuk menghadiri sekolah-sekolah awam baik di Malaysia, Filipina mahupun Indonesia. Ramai menghadapi diskriminasi berdasarkan etnik mereka dan tidak mempunyai bekalan asas pendidikan. Kebanyakkannya juga tidak mempunyai pendidikan dan membuat keputusan untuk membantu ibu bapa memancing untuk memperoleh mata pencarian. Kanak-kanak dan masyarakat Bajau Laut harus mendapat akses kepada pendidikan. Pendidikan adalah lebih daripada sekadar hak asas; ia membuka kepada jalan menuju masa depan yang produktif, peluang pekerjaan dan penglibatan dalam ekonomi. Sesetengah keluarga telah hidup selama beberapa generasi tetapi mereka tidak mempunyai peluang untuk mendaftarkan kelahiran. Pada bila-bila masa sahaja penguatkuasa negara sempadan yang diduduki boleh menahan kanak-kanak dan ibu bapa masyarakat Bajau Laut ini dan mereka boleh dibuang ke pusat tahanan. Mereka sentiasa hidup dalam ketakutan.

Titik perubahan kemanusiaan

Penyelesaian untuk isu masyarakat Bajau Laut ini akan wujud apabila ketiga-tiga negara ini membuat ratifikasi dan keputusan untuk mengenalpasti dan memberi identiti kewarganegaraan kepada mereka. Tanpa identiti kewarganegaraan, masyarakat Bajau Laut akan terus menjadi pendatang tanpa izin dan menghalang mereka mendapat akses kepada segala kemudahan. Sekiranya tiada perubahan dilakukan, kitaran kemiskinan dan keadaan kehidupan mereka tidak akan berakhir.

Leave Your Comments