SIFAR SISA : ASPIRASI KE ARAH KEHIDUPAN MINIMAL

PIN

Untuk menjalani kehidupan sifar sisa 100% adalah sesuatu yang mustahil dan amat sukar untuk dicapai. Manusia hidup dan berada di dalam sistem ekonomi linear dan pertumbuhan ekonomi terikat dengan penggunaan (consumption). Mengapa sisa wujud dan bagaimanakah manusia boleh mencapai sifar sisa?

Ilustrasi sistem, AWCS digabungkan dengan litterbins berkebolehan untuk pembersihan automatik

Apa itu Sifar Sisa?

Dunia menjana purata 3.5 juta tan sisa pepejal setiap hari. Menurut Laporan Bank Dunia, sisa harian akan naik hingga 6 juta tan sehari pada tahun 2025. Sementara itu, 84 peratus input material hilang dari tapak pelupusan atau pembakaran setiap tahun, mewakili kerugian $ 2.7 trilion dalam bahan yang berpotensi berharga. Sifar sisa adalah matlamat yang menggunakan pelaksanaan strategi, sumber daya dan alat inovatif untuk menghilangkan sisa sepenuhnya daripada menguruskannya melalui tapak pelupusan. Sisa sifar tidak hanya memberi manfaat kepada alam sekitar tetapi juga kepada seluruh komuniti di dunia.

Dalam ‘Outsmart Slaid’ oleh Tom Szaky, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas TerraCycle sebuah syarikat yang membuat produk pengguna dari sisa; dia memberi penjelasan tentang mengapa sisa boleh berlaku. Sisa adalah penciptaan manusia dan memang wujud sebagai sebahagian masalah manusia. Sisa dan ekonomi amat berhubungkait. Pertumbuhan ekonomi yang baik dapat dilihat dari kadar keluaran kasar dalam negara. Penunjuk ekonomi ini didasarkan pada output, lebih daripada produktiviti rakyat untuk menghasilkan produk. Ini bermakna, untuk mempunyai ekonomi yang baik dan lancar, manusia sentiasa mencipta (creating), mengilang (manufacturing) dan menggunakan (consuming) produk.

Seiring dengan aspek kepenggunaan, masalah sisa seperti kekurangan fasiliti untuk pembuangan sisa berlebihan, pencemaran, kemusnahan alam sekitar dan sebagainya akan timbul. Di Malaysia sendiri, pengurusan sisa pepejal masih menjadi cabaran terbesar. Malaysia sedang mencari penyelesaian inovatif kepada masalah perkhidmatan yang tidak mencukupi dan tidak berapa cekap yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan sejauh amalan pengurusan sisa berkenaan. Jadi bagaimana matlamat sifar sisa dapat dicapai?

Kredit foto – TerraCycle

Inisiatif dan Penyelesaian Inovatif Pentadbiran Kerajaan

Pembuat dasar di setiap negara perlu mempunyai keupayaan institusi untuk membangunkan kapasiti pengurusan sisa sebelum membentuk cetakan biru atau pelan induk untuk meminimumkan sisa. Jika sistem pengurusan sisa diswastakan, ia dapat meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan. Di Malaysia pada masa ini, penswastaan sistem pengurusan sisa masih belum mencapai penswastaan penuh. Sistem masih dalam tempoh interim, dan tidak berjalan sebagaimana yang dijangkakan disebabkan oleh beberapa masalah yang timbul daripada kekurangan dan ketidakupayaan sumber kewangan. Masalah-masalah ini mempengaruhi perancangan masa depan untuk pengurusan sisa terutamanya di Malaysia, dan menggagalkan pelaksanaan penswastaan. Penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan sisa pepejal dan sampah harus menjadi kaedah baharu seperti di negara-negara lain. Antara kaedah lain yang inovatif adalah seperti kaedah Biomas (Afrika Selatan, Nepal, Kenya, Australia dll.); Sisa Buangan Kepada Tenaga (Waste-to-Energy), Insinerator dan Bio Digester (Sweden, Norway, Denmark, Jerman, Korea Selatan dll).Walau bagaimanapun, di Malaysia masih lagi di tahap mengkaji dan membuat semakan tentang tempoh tapak pelupusan yang ada dalam negara dan mengambil kira aspek saiz, lokaliti, kos dan lain-lain aspek.

Kerjasama Korporat dalam Tanggungjawab Sosial

Cabaran ke arah kemampanan alam sekitar dan sosial bukan sahaja berlaku dalam kalangan kerajaan mana-mana negara dan pihak berkuasa tempatan. Bagi kebanyakkan syarikat atau organisasi, proses untuk ke arah ‘Sifar Sisa’ adalah sesuatu yang rumit dan biasanya melibatkan peningkatan usaha kitar semula yang tinggi.Untuk mencapai sifar sisa memerlukan komitmen pengurusan oleh badan-badan korporat kerana ia memberi kesan kepada setiap aspek perniagaan, reka bentuk produk, pilihan proses pembuatan, logistik dan keputusan rantaian bekalan (supply chain) serta pengurusan sisa dan pertimbangan kitar semula.Walmart Inc., sebuah syarikat runcit multinasional Amerika sebagai contohnya mempunyai aspirasi untuk mencapai sifar sisa di tapak pelupusan menjelang 2025. Terdapat beberapa inisiatif oleh Walmart seperti mengalihkan 81% produk, bungkusan dan sisa lain yang tidak terjual dari tapak pelupusan di A.S. pada 2017 dan 78% di seluruh dunia, menurut Laporan Tanggungjawab Global 2018 syarikat. Walmart juga ingin menghapuskan pembaziran dari produk dan pembungkusan bukan makanan dengan menjalankan kajian berkala mengenai sisa di pasaran yang berlainan. Mereka melihat Brazil, Kanada, Amerika Tengah, China dan Mexico, mengumpul data mengenai beberapa kategori sisa, termasuk kadbod, plastik, logam, sisa makanan, kaca, kayu, dan lain-lain sisa. Memajukan pengawasan air dan tanah adalah keutamaan kelestarian syarikat mereka. Sebuah syarikat yang telah lama beroperasi di Malaysia, Nestle juga mempunyai komitmen dalam usaha perlindungan alam sekitar. Nestle Malaysia menyasarkan objektif mengurangkan jumlah sisa pepejal yang mutlak sebanyak 10%. Antara matlamat mereka ke arah sifar sisa hingga ke tapak pelupusan sampah adalah, 5 daripada 6 kilang Nestle Malaysia telah mencapai status sifar sisa bermula pada Jun 2013. Pengurangan muatan sisa mereka bagi tahun 2013 adalah 57.6% berbanding sebanyak 10% sasaran awal. 3,000 tan sisa organik telah ditukar menjadi baja dan 291 tan laminat ditukar menjadi papan panel bahan binaan.

Komuniti minimal

Kehidupan minimal sebenarnya adalah pelengkap terbesar kepada aspirasi sifar sisa. Konsep untuk hidup bebas sepenuhnya mungkin amat mustahil dalam jangka masa pendek atau sukar dicapai dan mengambil sedikit masa untuk diadaptasi kerana gaya kehidupan moden menuntut kita untuk sentiasa tertumpu kepada kepenggunaan. Kitaran konsumerisme yang tidak berkesudahan telah menyebabkan kita melupakan banyak perkara penting dalam kehidupan. Aspirasi untuk hidup tanpa sisa tidak bermakna manusia tidak boleh mempunyai kemewahan hidup. Aspirasi untuk sifar sisa adalah sebenarnya pendekatan yang akan menyedarkan pilihan penggunaan anda. Apakah yang komuniti boleh lakukan untuk mengurangkan jejak ekologi di bumi (ecological footprint) dan mengurangkan jumlah sisa yang akan ke tapak pelupusan dan sejurus itu menjaga kesihatan dunia untuk kebergunaan bersama akan datang? Kehidupan minimal boleh bermula semudah berhenti membeli sesuatu/makanan menggunakan pembungkusan plastik, sebaliknya menggunakan bekas makanan sendiri yang boleh dibersihkan, digunakan semula dan mudah dibawa. Pilih untuk menggunakan botol/termos yang boleh digunakan semula untuk meminimakan penggunaan cawan kertas. Anda juga boleh bermula untuk meminimakan pembaziran makanan dan memisahkan sisa atau bahan daur ulang berasingan. Teknik Vermicomposting juga boleh dicuba untuk mengubah bahan makanan atau bahan organik kepada kompos.Apa sahaja kaedah boleh dilakukan sejajar dengan mengurangkan (reduce), menggunakan semula (reuse) dan mengitar semula (recylce). Pengurusan sisa adalah tanggungjawab bersama dalam memastikan aspirasi sifar sisa dapat dicapai.

Leave Your Comments